HARI ibu telah berlalu. Yang manis jadi kenangan yang pahit jadikan teladan. Sesungguhnya banyak yang hendak dikisahkan tentang ibu. Biasanya yang baik-baik sahaja. Tapi hakikatnya ibu juga manusia. Adakala mereka juga melakukan kesilapan sehingga hati anak-anak pedih terluka.
Dalam pada ramai yang bergembira dengan cerita ibu mereka yang cemerlang, pengasih dan penyayang, Afifah (bukan nama sebenar) mengirim e-mel yang cukup syahdu untuk saya tatap.
Saya luahkan apa yang saya ingin tanya, semua dijawab dengan esakan... Saya hilang kata-kata terutama dalam mengenangkan, saat orang lain bergembira menyambut hari ibu, Afifah berperang dengan kemelut perasaan dan hatinya yang telah luka kerana perbuatan ibunya.
Saya juga tidak dapat mengawal perasaan melainkan mencatatkan kisah Afifah di bawah ini buat renungan dan iktibar kita bersama.
Begini kisahnya:
“Saya faham apa pengorbanan seorang ibu dan ayah terhadap anak-anaknya, tidak pernah saya lupa walau sesaat. Orang heboh bercerita tentang anak-anak yang mengabaikan ibu bapa, tetapi pernahkah ada yang bertanya mengapa ia berlaku. Orang hanya melihat daripada lahirnya tetapi yang menanggung secara zahirnya adalah anak-anak. Contohnya seperti saya.
“Waktu saya belasan tahun saya dipandang sinis kerana tidak sebijak abang. Saya dianggap anak degil. Malah hubungan saya dengan abang tidak rapat sehingga ke saat ini.
“Tapi abang pandai, depan mak dan abah, dia akan tunjukkan dia sebaik-baik anak tapi hakikatnya perangai adalah sebaliknya.
“Itu masa saya remaja, apabila dewasa dan kini berumur 30 tahun lain pula kisahnya.
“Saya mula bekerja di sebuah syarikat penerbitan tanpa pengetahuan tentang komputer. Percaya tak? Nak padamkan komputer pun saya tak tahu!
“Tapi saya nekad, bila lagi hendak tunjukkan pada mak dan abah, saya masih boleh jadi ‘manusia’ dan saya tidak akan biarkan diri saya ketinggalan zaman.
“Syukur kerana saya diterima bekerja kerana bakat menulis yang saya pupuk sejak berusia 16 tahun.
“Malangnya mak dan abah tidak restu langsung! Apa lagi, makin bertambah-tambah kemarahan mereka sebab saya tolak hajat abah mahu saya jadi cikgu atau jururawat. Tapi saya reda!
“Pernah saya terdengar perbualan abah dan mak. Kata abah apabila orang tanya saya kerja apa duduk di bandar, abah jawab kerja kilang. Patutkah seorang ayah cakap begitu sedangkan dia tahu apa kerja anaknya?
“Pernah sekali mak jatuh sakit, bergegas saya balik kampung. Waktu itu, abang saya baru kahwin. Terkejut saya, dia langsung tidak jaga mak sebaliknya memerap dalam bilik dengan isteri dia. Mak terbiar seorang...
“Saya marah sangat sehingga saya ketuk bilik dan beritahu dia orang lain pun kahwin juga tapi taklah berkurung dalam bilik biarkan mak seorang.
“Bukan saya hendak ungkit, mak nak mandi, kencing atau buang air besar, saya yang uruskan.
“Makan pun kena suap, paling saya tidak akan lupa, bila saya suap mak makan, mak tepis sampai jatuh makanan ke lantai. Siap ludah-ludah ke muka saya. Saya senyum tapi menangis dalam hati. Sebagai anak saya tetap reda, saya kuatkan hati, sebab saya sedar, syurga di telapak kakinya!
“Selepas kejadian itu saya terasa hati. Saya nekad tidak akan balik kampung lagi.
“Kini bertahun-tahun berlalu sejak saya tinggalkan kampung. Saya juga segan hendak telefon mereka selalu sebab mereka anggap saya menyusahkan. Saya mahu buktikan kepada mereka saya mampu berdikari dan boleh jadi anak yang membanggakan.
“Selepas empat tahun di Kuala Lumpur, akhirnya saya yakin dengan kedudukan karier saya. Saya mampu sewa rumah empat bilik. Saya hias rumah cantik-cantik. Terkejut saya bila mak datang. Sangkakan dia telah berubah. Sayangnya sebaik masuk rumah dia berkata: “Baik sungguh tuan rumah kamu, sediakan semua barang.’’
“Hampir menitis air mata saya mengenangkan kata-kata mak, tapi saya sabar juga. Malas hendak terasa hati.
“Dan sekarang tahun 2007. Hubungan kami masih tidak rapat. Macam selalu bab duit saya minta abang tolong hantarkan kerana mereka tidak pernah mahu menerima wang pemberian saya. Pernah mak campak duit yang saya bagi. Macam kotor sangat duit itu!
“Paling kurang setiap bulan saya hantar RM700. Jadi nama abang terkenal satu kampung. Mak abah jaja kepada orang kampung, abang anak yang baik, selalu hantar duit, buat jasa kat mak abah. Saya tidak terkilan sebab Allah tahu!
“Kini saya kerja sendiri, tetapi masih menulis secara sambilan. Dengan perniagaan kecil-kecilan yang saya buat, alhamdulillah saya mampu beli kereta secara tunai. Dan sekarang dalam peringkat hendak membeli rumah. Syukur kepada Tuhan.
“Teman karib saya kata, kemelut saya sudah menjadi dendam. Tapi saya nafikan. Sebab sayang saya kepada mak, abah dan abang masih menebal.
“Saya teringin nak balik kampung tapi tidak sanggup dihina oleh mak abah.
“Seperti orang lain, saya juga rindukan mak abah. Setiap malam sebelum tidur saya menangis terkenangkan mereka, tapi ingatkah mereka kepada saya? Saya juga rindu sangat nak peluk cium mak dan abah. Seperti hari ibu yang lalu, kawan-kawan sibuk nak beli hadiah untuk ibu mereka. Saya hanya mampu tersenyum. Saya juga teringin nak buat macam mereka tapi mustahil.
“Pernah sekali, raya lima tahun lepas saya salam dan cium tangan dan pipi mak.... muka mak lain... macam pelik sangat kena cium. Agaknya, jijik bila saya sentuh pipinya. Entah-entah saya bukan anak kandung mereka. Sebab itu saya dihina dan dipandang jijik. Pernah saya ajukan pertanyaan itu tapi mak tak jawab dan terus tukar topik.
“Demi Tuhan, percayalah, saya tidak marah pada mak dan abah, cuma saya terkilan dan tak larat lagi dijadikan perbandingan dengan abang.
“Cukuplah. Saya reda dengan apa yang Tuhan tentukan dalam perjalanan hidup saya ini. Pun begitu kasih sayang, rasa hormat saya pada mak abah tidak pernah lekang. Tetap kukuh. Saya berdoa agar sebelum saya menutup mata, saya boleh mendengar mak dan abah menyebut perkataan ‘anakku’ dan ‘sayang’ kepada saya. Itu sahaja!
“Kepada mak dan abah, ingin saya bertanya, apakah dosa saya sehingga diperlakukan sedemikian rupa? Kalau ada jawapan beritahu saya. Saya akan terima dengan reda. Jangan seksa jiwa saya seperti ini.
“Walau saya masih terbayang saat mak meludah muka saya dengan makanan yang saya suap ke mulutnya, saya tetap sayang mak. Saya rindu mak. Saya teringin nak peluk mak puas-puas.
“Doa saya, jika saya berdosa, biarlah Tuhan tunjukkan balasannya. Saya reda dan pasrah dengan hukuman-Nya!,’’ demikian Afifah menutup ceritanya.
Saya tidak tahu bagaimana hendak menghuraikan perasaan saya terhadap kisah ini. Pastinya anda juga berada dalam situasi yang sama. Pun begitu, saya bangga dan kagum dengan kecekalan hati Afifah menempuh ujian hebat dalam hidupnya ini. Saya yakin ada hikmah di sebalik segala kepahitan yang Afifah lalui sekarang.
Nasihat saya, pulanglah ke pangkuan mak dan abah. Apa pun tindakan mereka, jangan putus asa. Seelok-eloknya balik dan hantar sendiri wang bulanan untuk mereka. Biar dibaling atau mereka tidak mahu ambil, tidak apa. Sebagai anak, anda telah berusaha memulihkan hubungan.
Pinta saya lagi, dalam apa jua keadaan, hormatilah mereka, doakan kebahagiaan mereka walaupun setelah mereka tidak ada lagi di dunia ini. Elok juga berjumpa pakar agama untuk mendapatkan nasihat dan pandangan.
Setiap kali solat, panjatkan doa agar Tuhan membuka pintu hati mereka menerima anda dan mengasihi anda sepeti ibu bapa lain.
Secarik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga, begitulah harapan saya untuk Afifah...sabar dan berdoalah. Insya-Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan harapan hamba-Nya. Anda. Seorang anak yang solehah.
Menutup kata, saya selitkan sepotong hadis yang bermaksud: Dari Abu Hurairah ra, Rasullullah s.a.w pernah bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (naluri percaya kepada Allah). Maka kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya anak tersebut Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.’’ (Riwayat Bukhari)
Menutup kata, pesanan ikhlas buat renungan kita bersama, jika seorang ibu itu permata, anak adalah kilauannya. Biarpun kilauannya pudar, keindahan permata itu tetap menyerlah kerana tanpa kilauan, permata itu tidak bermakna cantiknya!
No comments:
Post a Comment